Isnin, 20 Disember 2010

HIKAYAT WAK KUMBANG

Sebelum pena ini berbicara melakar cerita, diharapkan agar kalian selami betul-betul apa yang tersirat dalam kisah yang penuh tersurat ini...

Alkisah diceritakan oleh seorang saudagar kaya, ulam gerigil terkenal di Mesir yang bernama Abu Kelentong, dipetik dari Hikayat Wak Kumbang adalah seorang hamba Allah ini yang diberi nama Hang Nirmala, pada suatu hari ketika mentari di ufuk timur tegak di ubun-ubunnya. tatkala beliau sedang melepak ilmiah di atas sebuah bangku dekat surau kampungnya, maka dia memberi cadangan kepada hati kamanya sendiri untuk merantau ke negeri orang kerana sudah boring asyik melihat kampung sendiri. Arakian, setelah tarikh ditetapkan maka tibalah hari yang ditetapkan..bertolaklah beliau seorang diri memulakan perjalanan untuk merantau ke luar negeri.

Pada mulanya beliau bercadang untuk memulakan perjalanan melalui jalan air bersama rakit kesayangannya, setelah menerima keputusan undi melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kawan-kawannya..beliau memilih jalan darat sebagai alternatif seterusnya.

Setelah lima jam, lima minit, lima saat mengharungi liku-liku serta jerat pancaroba maka tibalah Hang Nirmala disebuah perkampungan yang terasing dalam sepi.

"Apa-apa hal pun, aku nak berehat dulu dan menjamah bekalanku." bisik Hang Nirmala ke kaki kirinya sambil duduk di bawah sepohon kurma.

Setelah habis menjamu selera dengan bekalan yang dibawanya; unta masak kicap bersambalkan tempoyak durian, maka melangkah lah beliau dengan penuh macho meneruskan ekspedisi kembaranya yang bertemakan "HIDUP BAHAGIA TANPA DOSA" sambil mengibarkan layar impian benderanya.
Sambil Hang Nirmala bersiar-siar di tepi hutan dan sedang feeling menghirup udara rimba yang segar, nyaman lagi lemak berkrim itu, tiba-tiba dia terdengar satu bunyi yang menangkap pendengarannya...jeng! jeng! jeng!...bunyi...aauuummmm...oh la la!!! Bunyi seekor harimau yang sedang kelaparan, hanya menunggu mangsanya saja. Jadi, si Hang Nirmala pun larilah sekuat hati untuk menyelamatkan diri. Harimau itu pun terkasima lalu mengejar beliau, maka berlakulah acara kejar mengejar antara satu sama lain. Hang Nirmala ini punyalah takut nak habaq mai, sampai berlari lintang pukang tak cukup tanah. Habis sayur-sayuran tanaman penduduk kanpung di situ dibantai pijaknya.
Dan sempat jugak dia berdoa kepada Allah agar dirinya diselamatkan daripada dibaham dek harimau.

Dengan kuasa Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu, diperlihatkan sebuah perigi di depan matanya. Jadi, untuk menyelamatkan dirinya..dia pun terjunlah ke dalam perigi tersebut. Perigi itu ada tali dan sebuah timba. Hang Nirmala ini pun bergayutlah ke dalam perigi tersebut sambil mengukirkan senyuman manja. Tali itu pula pendek aje, jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi. Di mulut perigi, harimau yang sedang lapar itu menunggunya dengan penuh sabar. Hang Nirmala pun berfikirlah macam mana hendak menyelamatkan dirinya., sambil dia berdoa kepada Allah supaya terselamat dari bahaya tersebut.

Adapun sedang dia memikirkan untuk mencari jalan untuk menyelamatkan diri, tiba-tiba kedengaran bunyi kocakan air di bawah perigi. Aaaaa...titi..tutu..!!! Ya Allah! Lagilah seram dibuatnya.Nak tahu ada apa kat bawah tu??Ada dua ekor buaya yang kelaparan tahap terlampau. Apalah nasib malang yang menimpa Hang Nirmala hari itu,... Sudahlah jatuh ditimpa tangga, naik lif pun rosak la pulak. Benarlah pepatah ada menyebut;...sesal kemudian tiada gunanya...waaaaa...!!!

Sedang dia dok berfikir lagi untuk mencari jalan keluar, tiba-tiba tanpa segan silu keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi, lalu dengan penuh adab sopan tikus itu naik ke atas ikut tali yang Hang Nirmala bergayut. Sampai kat atas tikus tu selamba aje gigit tali tersebut.

"Cis!!! Harapkan pagar, pagar memeng tak boleh harap! Kurang terdidik punya tikus...!!! "narah Hang Nirmala.

Lepas tu pulak tanpa diduga..keluar lagi seekor tikus yang berwarna hitam manis, naik penuh berdisiplin serta protokol mengikut tali tadi, cit! cit! cit! sampai ke atas, tikus hitam ni pun gigit jugak tali tu.

"Woi! Mangkuk camca punya tikus!!!"

"Macam mana aku nak buat ni?!...Kalau aku naik atas makan dek harimau. Kalau tunggu kat sini, nanti tali putus mampus jatuh ke bawah makan dek buaya. Nak buat lagu mana nih?!!!..."

Sedang Hang Nirmala dok fikir sampai nak tercabut kepala otak, tetiba ...terdengar satu bunyi...uuuuuuuuuuu.. bunyi lebah bawa madu. Hang Nirmala pun mendongak ke langit nan biru, melihat sang lebah yang cantik sedang membawa madu. Tiba-tiba, setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut Hang Nirmala. Punyalah nikmat sehingga tidak terkata nikmatnya.

Hang Nirmala pun berkata, "Fuh! manisnya madu ni, tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya...Subhanallah sungguh sedap ni..."

Kerana setitik madu sahaja Hang Nirmala sudah lupa pada harimau yang sedang menunggunya di mulut perigi dan buaya yang menantinya di bawah.

Sebagai kesimpulannya, kalau semua nak tahu...Hang Nirmala adalah kita semua laa...Harimau yang mengejar itu pula adalah maut kita, ajal yang sentiasa mengejar kita, so,...beringat-ingatlah...Lepas tu,dua ekor buaya pula adalah di umpamakan malaikat Munkar dan Nakir yang menanti kita di alam kubur nanti. Dan tali yang Hang Nirmala bergayut tadi adalah jangka hayat kita, kalau pendek talinya maka panjanglah umur kita dan kalau panjang talinya pula maka pendeklah...

Tikus putih dan hitam tu pula adalah dunia kita yang siang dan jugak malam yang sentiasa menghakis sedikit demi sedikit umur dan kehidupan kita. Betul tak?! Kan binatang tu gigit tali tu...

Dan MADU tu apa pula? madu yang jatuh setitik ke dalam mulut Hang Nirmala  tadi adalah nikmat dunia. Bayangkanlah sahabat-sahabatku sekalian, hanya setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia dah lupa pada harimau  dan buaya tadi. Ermm... Macam kita lah kan, bila dapat nikmat sikit dah lupa pada Allah. Waktu susah baru la nak ingat Allah. Astaghfirullah...
Sahabat ku,
Jika hari ini aku terlalu gembira, kau sedarkanlah aku 
dengan amaran-amaran Allah....
Jika aku bersedih tanpa kata, kau pujuklah aku
dengan tarbiah Pencipta....
Jika aku lemah, tak berhemah dan tak terdaya, kau
ingatkan lah aku dengan kehebatan Syurga....

Dan....
Jika esok aku terlena tanpa terjaga, kau iringlah lena
ku dengan kalungan DOA...

Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita semua dan beringat-ingatlah untuk menghadapi hari esok. Jangan lihat apa yang Allah ambil dari kita, tapi lihatlah apa yang kita telah ambil dari nikmat -nikmatNYA..

SEMOGA KALIAN SEMUA TERHIBUR SAMBIL MENGAMBIL PENGAJARAN DI SEBALIK KISAHNYA...

1 ulasan: